mutakhir

Pelancong asing terkandas enggan balik

Oleh Baharom Bakar

PELANCONG asing kebanyakannya dari Eropah yang berada di beberapa pulau peranginan di Terengganu enggan balik ke negara asal kerana bimbang dijangkiti Covid-19.

Sehingga kini, terdapat 40 pelancong asing masih berada di Pulau Perhentian di Besut, lima di Pulau Redang, Kuala Nerus dan tiga di Pulau Tenggol, Dungun.

Pengarah Jabatan Pelancongan negeri Ab Rasid Jusoh berkata, pelancong berkenaan didapati bercuti di pulau berkenaan sejak pertengahan bulan lalu.

Menurutnya, kerajaan negeri sudah mengarahkan pelancong itu keluar daripada pulau dan balik ke negara asal masing-masing.

“Bagaimanapun, mereka enggan balik dan mendakwa bimbang dijangkiti Covid-19 kerana keadaan di negara mereka lebih serius.

“Kita sudah menggunakan pelbagai kaedah termasuk memujuk supaya meninggalkan pulau peranginan itu tetapi mereka enggan dan merayu agar dibenarkan untuk terus menetap di situ sehingga pandemik Covid-19 pulih sepenuhnya, ” katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu hari ini.

Ab Rasid menjelaskan, kerajaan negeri sentiasa menghubungi pemilik chalet penginapan pelancong terbabit untuk bertanya khabar.

Menurutnya, setakat ini keadaan semua pelancong yang tinggal di pulau peranginan itu baik.

“Kerajaan negeri sentiasa memantau keadaan kesemua pelancong berkenaan dan setakat ini mereka dijaga dengan baik pengusaha chalet,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 8, 2020 @ 5:04pm
    d