mutakhir

Sahkan kesahihan berita Covid-19, jangan sebar melulu

Oleh Nurul Amanina Suhaini

PENYEBARAN berita palsu berkaitan Covid-19 di Johor perlu dihentikan walaupun belum ada individu dari negeri ini yang dihadapkan ke mahkamah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyanathan berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) secara keseluruhannya membuka 48 kertas siasatan berkaitan kandungan laporan Covid-19 yang bersifat palsu dan jelik di seluruh negara.

“Dua daripada kertas siasatan itu membabitkan negeri ini,” katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pada masa sama, 23 kandungan atau berita daripada pelbagai sumber di Johor sudah dinafikan, dijelaskan dan diberikan kewaspadaan menerusi Portal Sebenarnya.my sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac sehingga 6 April lalu.

“Secara keseluruhan, 236 kandungan atau berita daripada pelbagai sumber di seluruh Malaysia sudah dinafikan, dijelaskan dan diberikan kewaspadaan sepanjang tempoh berkenaan.

“Selain itu, sehingga kini, enam individu yang ada kaitan dengan isu ini sudah didakwa di mahkamah seluruh Malaysia mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Manakala di Johor, sehingga kini, belum ada individu yang didakwa di mahkamah susulan isu ini,” katanya.

Untuk mendapatkan maklumat sahih, orang ramai boleh melayari laman portal Sebenarnya.my atau menyertai saluran telegram Sebenarnya.my dalam pautan https://t.me/sebenarnyamy.

Maklumat mengenai penularan berita atau yang belum ditentukan kesahihannya mengenai Covid-19 turut boleh disalurkan melalui ruangan ‘Salur kepada Kami’ iaitu https://sebenarnya.my/salur/ dalam portal atau melalui aplikasi Sebenarnya.my.

Dalam pada itu, Vidyanathan berkata, sehingga semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Johor melaporkan penambahan 10 kes baharu Covid- 19, menjadikan jumlah keseluruhan 478 kes.

“Purata peratusan terhadap Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Johor pada 7 April sedikit menurun iaitu 97.02 peratus berbanding 97.09 peratus pada 6 April,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 8, 2020 @ 5:37pm
    d