mutakhir

Tak mengaku salah hina Agong [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

LELAKI yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur, hari ini, atas lapan pertuduhan terbabit.

Tertuduh, Sufazrin Amin Ismail, 26, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.

Mengikut semua pertuduhan itu, Sufazrin menggunakan nama Fazrin Ismail di laman sosial Twitter didakwa membuat penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menganiayai orang lain.

Ciapan itu dihantar pada jam 9.58 pagi hingga 10.29 malam antara 23 hingga 25 Mac lalu dan dibaca di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman pada jam 7 malam, 28 Mac lalu.

Bagi kesalahan berkenaan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahrizzat Amadan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi semua pertuduhan dan tidak boleh memuat naik ‘posting’ lain sementara menunggu sebutan semula kes pada 12 Mei depan.

Berita berkaitan

Lelaki hina Agong didakwa

Disiarkan pada: April 8, 2020 @ 6:25pm
d