mutakhir

Bekalan PPE, penutup hidung dan mulut cukup

Oleh Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menghadapi kekurangan bekalan penutup mulut dan hidung serta peralatan perlindungan peribadi (PPE).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, masalah dihadapi KKM adalah berkaitan penghantaran ke fasiliti KKM di seluruh negara, namun ia dapat diselesaikan.

“Setakat ini, kita tiada masalah kerana stok dan kegunaannya memang cukup, tetapi kita ada kekangan daripada segi penghantaran serta pengagihan ke negeri lain. Masalah itu sudah pun diselesaikan.

“Tetapi kita sedar penggunaan PPE meningkat dua hingga tiga kali (ganda). Kalau hospital itu penggunaannya amat tinggi, kita kena lihat bagaimana untuk mengagihkan PPE secepat mungkin. Isu sekarang ini dari segi logistik,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Selain itu, Noor Hisham berkata, KKM turut menerima banyak sumbangan PPE daripada industri fesyen dan Jabatan Penjara, malah ada kakitangan hospital turut membuat inovasi peralatan perlindungan sendiri.

Beliau berkata, ia satu inisiatif baik supaya kita tidak bergantung kepada PPE luar negara.

Ditanya mengenai isu kekurangan ventilator, beliau berkata, KKM menjalin kerjasama rapat bersama hospital swasta dan pihak terbabit meminjamkan 70 ventilator kepada KKM.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 8, 2020 @ 6:48pm
    d