mutakhir

Berlindung dulu jika cuaca buruk

Oleh Noorazura Abdul Rahman

SEMUA anggota polis diarahkan menghentikan sementara operasi sekatan jalan raya (SJR) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kedah sekiranya berlaku cuaca buruk.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, mereka juga perlu segera mencari tempat perlindungan bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini.

“Arahan diberikan memandangkan setiap anggota yang bertugas di lapangan berdepan risiko dipanah petir dan sebagainya.

“Kadangkala petir boleh berlaku awal sebelum hujan atau selepas hujan, dan mereka hendaklah mengambil perlindungan untuk keselamatan diri.

“Saya tak mahu anggota saya terbabit dengan kemalangan begini,” katanya ketika ditemui selepas menziarah rumah mangsa dipanah petir di Kampung Hujung Bechah, Sik, hari ini.

Dalam kejadian semalam, dua rakan baik Idrus Ahmad, 35, dan Mohd Zulkifli Kasim, 46, meninggal dunia dipercayai dipanah kilat semasa berada di bangsal di hadapan rumah.

Zainuddin turut menasihatkan orang ramai agar tidak berada di luar rumah atau kawasan terbuka ketika hujan dan petir bagi mengelak kejadian buruk berlaku.

Disiarkan pada: April 8, 2020 @ 6:54pm
d