mutakhir

Menggigil berdepan ribut

Oleh Noorazura Abdul Rahman

“INI kali pertama saya berdepan kejadian ribut sehingga menyebabkan saya menggigil ketakutan sambil memeluk anak berusia lima bulan,” kata Lokman Hakim Mohd Fuzi, 26.

Bapa kepada seorang anak itu, berkata angin kuat berserta hujan lebat pada 6.30 petang kelmarin menerbangkan keseluruhan bumbung rumahnya di Kampung Tanjung, Sik yang didiami sejak dua tahun lalu.

Katanya, dia dan keluarganya berada di dalam rumah selama lima minit bagi menunggu ribut reda sebelum berlari ke rumah ibunya di belakang.

“Kami sedang berehat di ruang tamu ketika itu, manakala anak saya sedang tidur. Apabila melihat ribut, saya terus peluk dan mendukung anak bersiap sedia untuk lari ke rumah ibu.

“Bagaiamanapun, apabila melihat bumbung rumah diterbangkan, kami tak berani keluar rumah sehinggalah keadaan reda,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Berikutan kejadian itu, Lokman kerugian lebih RM10,000 selepas semua bumbung, perabot dan pendawaian elektrik rumahnya rosak.

Sementara itu, Pegawai Sekretariat Jawatankuasa Bencana Negeri Kedah, Kapten (PA) Mohd Muhkrij Md Sabir berkata, lebih 60 buah rumah di daerah Sik mengalami kerosakaan apabila bumbung diterbangkan ribut dalam kejadian terbabit.

Katanya, antara kampung terjejas ialah Kampung Sena, Kampung Tanjung, Kampung Charuk Kemuning, Bandar Baru Beris Jaya, Kampung Batu 5,Kampung Padang Toi dan Kampung Tok Uban.

“Kita sedang mengenal pasti penduduk yang berdepan musibah dan pada masa sama sumbangan kit makanan diserahkan kepada mangsa bagi meringankan beban,” katanya.

Disiarkan pada: April 8, 2020 @ 7:13pm
d