mutakhir

'Doa, al-Quran dan solat hajat senjata saya'

Oleh Zaid Salim

SELAMA 15 hari dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, seorang pesakit Covid-19, sentiasa solat hajat dan membaca al-Quran serta berdoa supaya diberikan kesembuhan.

Ahmad Lokman Wan Latif, 38, berkata, hanya itu dilakukan sepanjang rawatan selain sentiasa mendengar nasihat doktor dengan mengambil ubat dan menjaga kebersihan diri.

Katanya, dia sangat terkesan apabila melihat video atau gambar urusan pengebumian pesakit Covid-19 yang meninggal dunia.

“Saya sedih apabila melihat ahli keluarga ada yang hanya mampu melihat urusan dari jauh atau rakaman video sahaja.

“Bukan saya takut mati. Semua orang akan mati. Namun saya percaya ajal maut itu di tangan Tuhan.

“(Dan) Kalau boleh biarlah kematian kita diiringi keluarga dan sanak saudara hingga ke tanah perkuburan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seberang Baruh, Kuala Terengganu semalam.

Wan Ahmad Lokman yang bekerja di sebuah syarikat kontraktor elektrik di negeri ini berkata, dia amat bersyukur kerana doanya dimakbulkan apabila dimaklumkan keputusan ujian negatif dan dibenarkan pulang Isnin lalu.

Katanya, dia kini menjalani kuarantin di rumah dan membuat saringan ulangan selepas tempoh 14 hari.

Menurutnya, walaupun disahkan negatif, dia perlu sentiasa berdisiplin ketika menjalani kuarantin di rumah kerana tidak mahu ahli keluarga dijangkiti wabak berkenaan.

Katanya, dia dimasukkan ke hospital pada 22 Mac lalu selepas pulang menghadiri temu duga kursus berkaitan elektrik di Intergrated Learning Solution (ILSAS) Bangi, Selangor bersama tiga rakan.

“Kami ke sana (ILSAS) pada 16 Mac dan pulang keesokan hari, namun sebelum pulang, pihak pengurusan ILSAS menasihatkan kami agar membuat saringan Covid-19 di hospital.

“Saya bersama tiga rakan membuat saringan pada 19 Mac dan tiga hari kemudian saya menerima keputusan positif manakala tiga lagi rakan bebas daripada jangkitan,” katanya.

Katanya, dia tidak mengalami sebarang gejala yang menunjukkan dijangkiti virus berkenaan kecuali batuk selain menghidap penyakit resdung.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 9, 2020 @ 10:43am
    d