mutakhir

ADTEC Kulim hulur bantuan

Oleh Nor Farhani Che Ad

PUSAT Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Kulim membangunkan inovasi acuan bingkai pelindung muka yang mampu menghasilkan kira-kira 3,700 unit peralatan itu dalam sehari.

Pengarahnya Zulkifle Omar berkata, inisiatif itu dilakukan selepas melihat keperluan petugas barisan hadapan dalam menangani penularan pandemik wabak Covid-19.

“Projek ini dimulakan pada akhir Mac lalu di mana kita mereka bentuk acuan untuk disesuaikan dengan mesin suntikan plastik sedia ada.

“Proses mereka bentuk acuan ini mengambil masa selama lima hari sebelum pengujian ke atas mesin dilakukan bagi memastikan kualiti produk terjamin,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zulkifle berkata, projek berkenaan adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ADTEC Kulim bagi membantu petugas barisan hadapan.

Katanya, seramai 30 kakitangan ADTEC yang terbabit dalam program berkenaan menggunakan bahan latihan untuk menghasilkan pelindung muka berkenaan selain menerima sumbangan orang ramai.

“Sehingga kini lebih 5,000 unit pelindung muka sudah diedarkan kepada hospital, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di sekitar Kedah, Pulau Pinang serta Perak.

“Kita sedang giat menyiapkan kira-kira 10,000 unit lagi untuk kegunaan petugas barisan hadapan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 9, 2020 @ 4:05pm
    d