mutakhir

Selamatkan majikan dulu

Oleh Zuliaty Zulkiffli

“SAYA dengar orang jerit keluar, keluar, api, api lalu terus menjerit meminta tolong kerana tak berdaya untuk membawa keluar dua majikan yang lumpuh seorang diri.”

Begitu kata pembantu rumah Ani Sayani Ojat, 40, apabila kediamannya antara tujuh rumah kedai terbakar di hadapan Sekolah Kebangsaan Wan Abdul Samat, Jalan Pokok Sena, Alor Setar, hari ini.

Dalam kejadian pada 12.10 tengah hari, enam daripada rumah kedai terbabit mengalami kerosakan teruk.

Menurut Ani Sayani, kejadian berlaku terlalu pantas, namun mereka bernasib baik kerana pasukan bomba tiba dengan cepat.

Katanya, majikannya, Tan Teik Heng, 70, yang lumpuh dan isterinya, Haw Mooi Wok, 65, yang juga orang kurang upaya (OKU) lumpuh berjaya diselamatkan, namun barangan mereka gagal diselamatkan.

“Saya bersyukur kerana kami terselamat selepas dibantu anggota bomba ketika api sedang marak di rumah kedai bersebelahan,” katanya.

Peniaga kedai kusyen, Tan Shuan Ai, 51, berkata ketika kejadian dia sedang memasak untuk hidangan tengah hari sebelum terhidu bau asap kuat.

Katanya, dia kemudian ternampak api di depan rumah dan hanya sempat mencapai beg galas miliknya

“Saya berlari ke belakang untuk melepaskan anjing dan kucing peliharaan, namun hanya dua ekor yang berjaya melarikan diri.

“Duit simpanan RM1,000 dalam dompet hangus terbakar selain mata wang dolar juga musnah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Syufa’at Kamaron berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 12.18 tengah hari.

Menurutnya, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena dengan bantuan dari BBP Alor Setar dan BBP Kuala Nerang bersama 25 anggota dikejarkan ke lokasi.

“Kebakaran membabitkan sebuah kedai kusyen, sebuah kedai peralatan sembahyang dan lima premis yang kini dijadikan sebagai kediaman, namun hanya tiga premis terbakar 95 peratus.

“Manakala, tiga buah kedai lagi terbakar 85 peratus sementara sebuah lagi terbakar 60 peratus serta sebuah motosikal musnah,” katanya.

Katanya, setakat ini punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: April 9, 2020 @ 4:19pm
d