mutakhir

Pasar tutup esok, tiada pembelian panik [METROTV]

Oleh Baharom Bakar

TIADA pembelian panik berikutan pengumuman kerajaan negeri menutup semua pasar utama di seluruh Terengganu esok untuk operasi nyah cemar.

Tinjauan di sekitar Kuala Terengganu hari ini mendapati keadaan di beberapa pasar lenggang dan ada antara peniaga menutup operasi jualan lebih awal bertujuan mengemas barangan bagi membolehkan operasi nyah cemar dilakukan esok berjalan lancar.

Peniaga di beberapa pasar utama di negeri itu akur dengan arahan penutupan premis perniagaan bagi membolehkan kerja pembersihan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dilakukan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Dr Alias Razak berkata, semua pasar utama termasuk pasar borong di seluruh negeri diarahkan tutup sehari pada esok.

Menurutnya, arahan penutupan pasar utama dan pasar borong dikeluarkan bagi membolehkan kerja nyah cemar dilakukan dengan lancar.

“Hasil tinjauan di beberapa pasar di sekitar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan di Kuala Nerus mendapati tiada pembelian secara panik oleh masyarakat,” katanya.

Dr Alias menjelaskan, kerja nyah cemar akan dilakukan secara serentak di semua pasar termasuk pasar borong di seluruh negeri.

Menurutnya, operasi nyah cemar akan dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 9, 2020 @ 4:40pm
    d