mutakhir

Tak mengaku tumbuk mata isteri

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

LELAKI mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas dakwaan menumbuk mata isterinya.

Tertuduh, Asrol Hisyam Mohd Ramli, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa menyebabkan kecederaan terhadap isterinya yang berusia 29 tahun di sebuah rumah di Kampung Banggol Katong pada 6.30 petang, 3 April lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Bagi kesalahan mengikut seksyen itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 326A KK turut berdepan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang dikenakan atas sabitan bagi kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan L Rathna, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakilkan Mazlan Md Zein.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 17 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi sepanjang prosiding berlangsung.

Disiarkan pada: April 9, 2020 @ 4:43pm
d