mutakhir

Ikan kikek terdampar bukan petanda bencana

Oleh Hamzah Osman

ORANG ramai dinasihati supaya tidak mengaitkan kejadian ikan kikek terdampar di Pantai Tanjung Rhu, Langkawi, hari ini, dengan bencana yang kononnya bakal berlaku.

Pegawai Perikanan Daerah Langkawi, Azahar Ahmad berkata, berdasarkan gambar dimuat naik di media sosial, ia adalah spesies ikan kikek yang kurang mendapat sambutan pengguna.

“Ikan itu bukan naik sendiri ke pantai seperti didakwa sebahagian warganet dalam media sosial, sebaliknya dipercayai hasil tangkapan nelayan menggunakan pukat hanyut.

“Mereka (nelayan) hanya ambil ikan kembung atau pelaling saja kerana ia lebih berharga di pasaran, berbanding kikek bersaiz kecil,” katanya ketika dihubungi di sini.

Azahar berkata, ikan kikek itu dipercayai dibuang nelayan untuk membersihkan pukat di tengah laut sebelum dihanyutkan ombak ke persisiran dan terdampar di pantai.

“Selalunya ikan-ikan kecil termasuk kikek dijual oleh nelayan pukat hanyut kepada pengusaha ternakan ikan dalam sangkar sebagai makanan ikan.

“Bagaimanapun, anggota penguat kuasa kami masih menyiasat untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab membuang ikan terbabit sehingga mencemarkan pantai,” katanya.

Pegawai Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Daerah Langkawi, Azhar Hassan turut mengesahkan kejadian itu dilakukan sekumpulan nelayan tidak bertanggungjawab.

“Kebanyakan udang dan ikan bersaiz besar sudah diambil nelayan terbabit dan anak ikan serta ikan bersaiz kecil yang tidak boleh dijual dibuang.

“Saya mendapat maklumat dari pemimpin persatuan nelayan, punca kejadian bukan dilakukan nelayan Langkawi, sebaliknya mungkin tindakan kurang matang oleh nelayan pukat jerut,” katanya.

Disiarkan pada: April 9, 2020 @ 8:04pm
d