mutakhir

Hachiko kini milik Alixson

Oleh Recqueal Raimi

TIDAK sampai 12 jam pemilik asal Hachiko menuntut anjing peliharaannya, individu terbabit bersetuju menyerahkannya kepada Alixson Mangundok, 35.

Alixson yang kini tinggal di pondok dalam kebun di Kampung Menggaris 2, di sini berkata, individu terbabit yang mendakwa sudah memelihara anjing berkenaan dinamakan Kutu selama dua bulan sebelum ini, menghubunginya kira-kira jam 9 malam tadi.

“Awalnya, mengikut perbincangan kami, pemilik asal akan mengambil semula Hachiko selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

“Namun, malam tadi dia ada menghubungi saya semula mengatakan mahu menyerahkan Hachiko kepada saya kerana dia yakin saya boleh menjaganya dengan baik,” katanya yang bersetuju untuk terus menjaga Hachiko.

Katanya, dia berterima kasih dan berharap pemilik asal tidak keberatan melawat Hachiko pada bila-bila masa selepas PKP berakhir.

“Terima kasih kepada semua netizen kerana menyokong tindakan saya namun pemilik asal Hachiko juga wajar dicontohi kerana dia sendiri mengambil anjing yang berkeliaran dan merawatnya selama dua bulan sebelum ini,” katanya.

Semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menemuinya memaklumkan keputusan saringan Covid-19 dari hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu adalah negatif.

Difahamkan sehingga saat ini, Alixson masih tinggal di pondok yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya sementara menunggu keputusan saringan Covid-19 dari Hospital Kota Marudu.

Sejak 7 April lalu, kisah perjalanan Alixson serta Hachiko tular di laman sosial dan rata-rata netizen memujinya apabila tindakannya yang baru tiba dari Jepun, menjalani saringan sebanyak dua kali selain berjalan sejauh 124 kilometer untuk mematuhi PKP termasuk menjaga jarak antara orang lain.

Malah, netizen berpendapat, Hachiko yang menemaninya meredah perjalanan bukan secara kebetulan sebaliknya sebagai pelindung apabila dikaitkan dengan lawatan Alixson di tugu peringatan anjing Hachiko di Osaka, Jepun.

Disiarkan pada: April 10, 2020 @ 1:28pm
d