mutakhir

Penjara Bentong lakukan sanitasi

Oleh Roselan Ab Malek

PENJARA Bentong mengambil tindakan proaktif melakukan program sanitasi sebagai langkah mengekang penularan wabak Covid-19 di penjara itu, hari ini.

Pengarahnya Datuk Muhammad Zuki Muhammad Zain berkata, walaupun tiada kes jangkitan membabitkan banduan atau kakitangan penjara, namun ia dilakukan sebagai usaha pencegahan awal.

Menurutnya, operasi sanitasi selama dua jam bermula 10 pagi membabitkan blok penghuni, pejabat, kantin dan surau.

“Kita lakukan sebagai langkah pencegahan Covid-19 di penjara dan setakat ini tiada penghuni dan kakitangan Penjara Bentong dijangkiti virus berkenaan.

“Selain itu, kita juga sentiasa mengambil langkah pencegahan termasuk melakukan saringan suhu setiap kakitangan yang masuk dan penggunaan terowong sanitasi,” katanya

Operasi sanitasi itu membabitkan seramai 53 petugas terdiri 33 anggota bomba dan 20 kakitangan penjara diketuai Pegawai HAZMAT Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Kamaruddin Mohd Saufi.

Katanya, beliau juga menasihatkan kakitangan supaya tidak keluar selepas tamat waktu bertugas dengan kekal duduk di rumah masing-masing.

Sementara itu, Mohd Kamaruddin berkata, pelaksanaan operasi sanitasi berkenaan dilakukan mengikut prosedur ditetapkan sebagai langkah pembasmian Covid-19.

Katanya, setakat ini operasi nyah cemar berskala besar dilakukan di Jerantut dan Bentong, manakala bagi skala kecil dibuat setiap hari oleh balai bomba seluruh negeri.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 10, 2020 @ 2:09pm
    d