mutakhir

Belum cukup licik bro !

Oleh Ruwaida Md Zain

GUNA khidmat ‘budak’ penghantar barang untuk menyerahkan bekalan dadah kepada pembeli.

Itu antara taktik pengedar dadah susulan penahanan seorang lelaki dalam sekatan jalan raya (SJR) Op Covid-19 di Persiaran Tengku Ampuan Seksyen 26, di sini, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner R Sundralingam berkata, anggota polis menahan seorang pekerja penghantar barang kira-kira jam 12.15 tengah hari.

"Penghantar barang itu adalah lelaki tempatan berusia 28 tahun dan menunggang motosikal Yamaha LC.

"Pemeriksaan pada beg galas dipakai lelaki itu menemui dua sampul surat berisi leraian daun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 40.44 gram.

"Polis kemudian menahan penghantar barang itu untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi.

Sundralingam berkata, hasil soal siasat dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan BSJN IPD Serdang membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Bandar Kinrara, Puchong kira-kira jam 11.10 malam, hari yang sama.

"Polis berjaya memberkas seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun dan merampas ganja seberat 1.6 kilogram. Mereka direman tujuh hari bermula semalam untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pekerja penghantar barang itu tidak mengetahui barang yang mahu dihantarnya.

"Polis percaya suspek kedua ini menggunakan khidmat orang tengah untuk menguruskan khidmat penghantaran 'barang' itu kepada penagih dadah.

"Dipercayai suspek ini juga aktif sejak dua minggu dan mencari pelanggannya menggunakan aplikasi sosial Wechat.

"Kes ini disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius kegiatan sindiket dadah yang cuba mengambil kesempatan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Polis akan terus memantau dan akan mengambil tindakan tegas ke atas kegiatan terbabit," katanya.

Disiarkan pada: April 10, 2020 @ 6:32pm
d