mutakhir

80 rakyat Malaysia pulang tengah malam ini

Oleh BERNAMA

SERAMAI 80 rakyat Malaysia yang terkandas di Arab Saudi susulan penggantungan penerbangan dan sekatan perjalanan oleh kerajaan negara itu akibat Covid-19, akan pulang ke tanah air selepas tengah malam ini.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam kenyataan hari ini, berkata pesawat yang dinaiki mereka dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 12.30 tengah malam ini.

“Mereka akan pulang dengan menaiki sebuah pesawat khas Saudi Arabian Airlines yang ditaja oleh kerajaan Arab Saudi,” katanya.

Hishammuddin berkata turut akan pulang menaiki pesawat itu ialah empat rakyat Brunei Darussalam, seorang rakyat Indonesia dan Singapura serta dua warga Syria bertaraf penduduk tetap.

“Kerajaan Malaysia difahamkan bahawa pesawat sama turut digunakan oleh kerajaan Arab Saudi untuk membawa pulang rakyat mereka yang terkandas di Malaysia,” katanya.

Hishammuddin turut merakamkan penghargaan bagi pihak Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, barisan kepimpinan kerajaan serta seluruh rakyat Malaysia kepada kerajaan Arab Saudi khususnya Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud kerana membantu Malaysia di saat getir.

“Terima kasih juga kepada Putera Mahkota merangkap Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Arab Saudi, Putera Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud yang amat prihatin demi memastikan rakyat Malaysia yang terkandas di Arab Saudi dijaga dengan baik.

“Saya juga secara peribadi turut berterima kasih kepada Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al-Saud kerana sewaktu sidang video kami pada tiga minggu lalu, Putera Faisal telah menyuarakan tekad Arab Saudi untuk berjuang bersama-sama Malaysia sepanjang krisis Covid-19,” katanya.

Hishammuddin berkata perkara itu sekali gus membuktikan keakraban hubungan Malaysia dan Arab Saudi dan Kementerian Luar akan memastikan hubungan baik yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara itu terus utuh dan berkekalan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 10, 2020 @ 7:52pm
    d