mutakhir

Pasukan perubatan China tiba dua minggu lagi

Oleh Amir Abd Hamid dan Muhaamad Hafis Nawawi

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) bakal menerima bantuan perkongsian pengalaman menangani Covid-19 daripada pasukan perubatan China.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pasukan perubatan republik berkenaan akan tiba di negara ini dua minggu lagi.

Beliau berkata, mereka hanya berkongsi pengalaman bagi membantu menambahbaik perkhidmatan KKM khususnya berkaitan Covid-19.

“KKM akan mengambil peluang berkenaan untuk bekerjasama dengan China dalam bidang penyelidikan.

“Kita alu-alukan kedatangan mereka dan KKM juga boleh mempelajari sesetengah inisiatif yang dilakukan China.

“Seperti kita tahu, China berupaya membina sebuah hospital baharu dalam masa 10 hari. Namun pada sama Malaysia juga dapat menyediakan hospital sementara bagi menempatkan pesakit Covid-19 dalam masa tiga hari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Pada 28 Mac lalu, Duta China ke Malaysia, Bai Tian menyatakan kesediaan China untuk menghantar pakar perubatan ke negara ini dalam usaha membanteras penularan Covid-19.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM sudah menerima lagi kit ujian pantas yang canggih daripada Korea Selatan.

“Kita akan membuat ujian pengesanan dalam masa terdekat bagi melihat keberkesanan dan ketepatannya.

“Kita tidak mahu ulangi kesilapan Sepanyol dan United Kingdom yang tidak menunjukkan ketepatan sebenar.

“Pihak KKM tidak mahu berlakunya keputusan ‘false positive’ atau ‘false negative’ yang boleh menyebabkan keadaan lebih buruk,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 10, 2020 @ 8:06pm
    d