mutakhir

Nenek nafi usir keluar rumah

Oleh Safuri Kamarudin

“SEPATUTNYA dia bercakap jujur dengan apa yang berlaku dan tidak mengaibkan keluarga kami. Kasihan nenek saya terpaksa menanggung malu apabila dicemuh netizen sedangkan ia tidak betul dan tidak berlaku seperti yang dilaporkan,” kata Mohd Haizat Abdul Hamid.

Mohd Haizat, 22, berkata, dia kesal dan sedih apabila membaca laporan seolah-olah nenek, Normah Jusuh, 73, mengusir penyewa keluar dari rumah seperti yang didakwa.

Menurutnya, sepatutnya penyewa jujur dan tidak mendakwa diusir oleh nenek.

“Nenek hanya meminta duit sewa rumah dan tidak menghalau keluarga enam beranak berpindah.

“Nenek pun tahu mereka menyewa selama enam tahun dan tidak berlaku soal tunggakan sewa sehingga mereka keluar pada waktu malam,” katanya ketika ditemui hari ini.

Mohd Haizat berkata demikian untuk mengulas dakwaan enam beranak yang tinggal di dalam pondok di kebun getah selepas mendakwa diusir dari rumah sewanya di Kampung Tanjung Langsat, Weng dekat Baling.

Mohd Haizat berkata, neneknya hanya meminta duit sewa rumah yang tertunggak selama lima bulan memandangkan nenek bergantung dengan wang terbabit untuk menampung perbelanjaan harian.

“Nenek sedih apabila penyewa berpindah pada waktu malam dan dengar berita dia mendirikan pondok dalam kebun untuk meraih simpati netizen sehingga keluarga kami dicemuh.

“Sepatutnya dia berbincang dengan baik dan keluar rumah pula tanpa pengetahuan kami sebelum pergi membina pondok di dalam kebun,” katanya.

Berikutan itu, dia berkata, keluarganya minta bekas penyewa rumah berkenaan membawa keluar barang yang masih ada di dalam rumah.

“Selain itu, dia perlu membersih sampah sarap yang dibuangnya pekarangan rumah.

“Saya juga meminta dia membuat permohonan maaf secara terbuka supaya netizen faham kedudukan sebenar,” katanya.

Disiarkan pada: April 11, 2020 @ 10:36am
d