mutakhir

Anak gajah pigmi Borneo mati diracun?

Oleh Olivia Miwil & Hazsyah Abdul Rahman

SEEKOR anak gajah pigmi Borneo betina ditemukan mati berdekatan Hutan Simpan Malua di sini, 8 April dipercayai akibat keracunan.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga berkata, bedah siasat awal mendapati organ dalaman anak gajah yang dianggarkan berumur lima hingga 10 tahun itu rosak teruk.

Katanya, hasil bedah siasat awal yang dilakukan tidak menolak kemungkinan anak gajah itu mati akibat keracunan.

“Tiada kecederaan ditemukan pada badan haiwan itu. Bagaimanapun kita masih menunggu laporan penuh ujian makmal,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada Februari lalu dilaporkan lima gajah di Sabah mati dipercayai akibat diracun.

Dalam pada itu, Augustine berkata pihaknya turut menyelamatkan seekor anak gajah berusia setahun dari Felda Sahabat untuk dirawat di Taman Hidupan Liar Lok Kawi.

Katanya, anak gajah berkenaan ditemukan dalam keadaan kedua-dua mata mempunyai masalah sebulan lalu.

“Kini mata kanan anak gajah itu menunjukkan perkembangan positif dan usaha diteruskan untuk merawat mata kirinya,” katanya.

Disiarkan pada: April 11, 2020 @ 12:07pm
d