mutakhir

Ubi keladi, mangga tanpa permit dirampas

Oleh Zuliaty Zulkiffli

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas 300 kilogram (kg) mangga dan 630 kg ubi keladi tanpa permit dari Thailand, kelmarin.

Produk pertanian itu dirampas dalam pemeriksaan ke atas sebuah lori di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Bukit Kayu Hitam pada 11 malam.

Pengarah MAQIS Kedah, Lily Rosalinda berkata, pihaknya menemui ubi keladi dan buah mangga bernilai RM1,206 tanpa dokumen yang sah selain tiada sijil fitosanitasi dari negara asal.

“Perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit yang sah menjadi kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta sama.

“Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, MAQIS sentiasa memantau dan memeriksa keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara untuk produk yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit serta bahan cemar.

Disiarkan pada: April 11, 2020 @ 1:32pm
d