mutakhir

Siasat petugas kesihatan guna plastik sampah

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat siasatan berhubung gambar tular kakitangan sebuah klinik kesihatan di Perak memakai pelindung kepala diperbuat menggunakan plastik sampah.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pihaknya sudah dimaklumkan perkara itu, namun belum menerima jawapan selepas menghubungi beberapa klinik kesihatan di negeri berkenaan.

“Saya akan periksa dan tindakan kakitangan menggunakan plastik sampah sebagai pelindung kepala, (memang) saya tidak setuju kerana seolah-olah ‘downgrade’ (merendah-rendahkan) kerajaan dan KKM.

“Ini kerana untuk membuat alat itu (pelindung kepala) kita ada material (bahan) khas dan bukannya dari plastik sampah.

“Kita akan cari siapa yang buat termasuk yang tularkan gambar-gambar itu,” katanya dalam sidang media selepas penyerahan kotak makanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada penerima di Pejabat Penghulu Alor Pongsu, Bagan Serai, hari ini.

Dr Noor Azmi berkata, dakwaan kononnya negara berdepan kekurangan peralatan perlindungan diri (PPE) juga tidak benar.

“Seperti dimaklumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, di peringkat KKM, kerajaan sudah membuat tempahan yang banyak dari luar negara dan dijangka akan sampai dalam masa terdekat ini.

“Sebaik sahaja sampai kita akan beri secara percuma kepada setiap rumah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 11, 2020 @ 1:41pm
    d