mutakhir

Covid-19: Cairkan peruntukan pembangunan parlimen

Oleh Baharom Bakar

KERAJAAN dicadang mencairkan peruntukan pembangunan parlimen bagi membolehkan ia digunakan untuk menyediakan bantuan makanan asas kepada rakyat terkesan.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu Datuk Rosol Wahid menegaskan, peruntukan bantuan bencana berjumlah RM400,000 habis dibelanjakan untuk menyediakan bantuan makanan asas sejak kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 18 Mac lalu.

Jelasnya, bantuan bencana itu juga bukan hanya digunakan untuk menyediakan barangan keperluan asas kepada masyarakat, sebaliknya turut dibelanjakan kepada petugas barisan hadapan.

“Kerajaan memperuntukkan bantuan pembangunan RM1.5 juta setahun kepada setiap ahli parlimen, termasuk RM400,000 bantuan bencana.

“Semua ahli parlimen seluruh negara sudah membelanjakan peruntukan bencana untuk membantu rakyat yang terkesan akibat PKP yang akan memasuki fasa ketiga Rabu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau program sumbangan sarapan pagi kepada petugas barisan hadapan di Hospital Hulu Terengganu (HHT) di Kuala Berang, hari ini.

Turut hadir Pegawai Perubatan HHT Dr Mohamad Isa Mohd Ariff.

Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, ahli parlimen tidak boleh sewenangnya mengguna dan menukarkan peruntukan pembangunan kepada bantuan bencana melainkan perlu mendapat kelulusan kabinet.

“Saya bagi pihak ahli parlimen kerajaan akan membawa usul mencairkan peruntukan pembangunan kepada bantuan bencana pada mesyuarat kabinet Rabu ini.

“Sejak kerajaan mengumumkan PKP, sebahagian besar ahli parlimen belum menggunakan peruntukan pembangunan yang dikhaskan kerajaan,” katanya yang menambah tiada projek pembangunan dilakukan sepanjang PKP.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 11, 2020 @ 3:39pm
    d