mutakhir

Percaya sangat sampai rugi RM93,000

Oleh Shahrinnahar Latib

TERLALU mempercayai kenalan yang baru dikenalinya menyebabkan seorang guru wanita ditipu hingga rugi RM93,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita dari Maran berusia 42 tahun itu mengenali suspek lelaki dipercayai warga Indonesia sejak Februari lalu menerusi media sosial.

Katanya, pada 17 Mac lalu, dia memasukkan wang RM6,000 ke dalam akaun suspek didakwa untuk kegunaan lelaki dikenali Ismail Akhbar itu datang ke Malaysia.

“Pada 6 April lalu, mangsa ada menerima mesej WhatsApp daripada suspek kononnya sudah tiba di negara ini, namun mengalami masalah dengan pihak berkuasa.

“Suspek mendakwa dia sukar membuat pengeluaran duit Rupiah bagi pembayaran kos masuk ke Malaysia serta meminta bantuan mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Wazir berkata, selepas itu mangsa memasukkan lagi duit ke dalam akaun sama beberapa kali sehingga semalam, menjadikan jumlah keseluruhan RM93,000.

“Semalam, mangsa berhubung dengan suspek dan memberitahu mahu ke Kuala Lumpur untuk berjumpa namun suspek meminta mangsa menunggu sehingga masalah pertukaran duit selesai.

“Bagaimanapun dia cuba menghubungi lagi suspek beberapa kali tetapi gagal dan mengesyaki ditipu sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran, semalam,” katanya.

Polis kini giat memburu suspek dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: April 12, 2020 @ 11:13am
d