mutakhir

'Jangan terlalu teruja'

Oleh Recqueal Raimi

PREMIS dan kilang yang dibenarkan beroperasi di Sabah diarahkan mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menjalankan langkah pencegahan mengikut Standard Prosedur Operasi (SOP) ditetapkan bagi membendung wabak Covid-19.

Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, setiap pihak yang bertanggungjawab mengendalikan premis serta kilang perlu melaksanakan ketetapan mengikut panduan dan tempoh operasi perniagaan.

Katanya, pengurusan kilang, peniaga atau pekerja premis termasuk orang ramai selaku pembeli diminta merujuk kepada arahan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) di kawasan masing-masing.

“Jangan terlalu teruja. Sebagai contoh, kerajaan mengumumkan kedai gunting rambut dibenarkan beroperasi namun, tukang gunting tidak dibenarkan sesekali memotong rambut pelanggan secara terus tanpa kaedah yang selamat.

“Mereka (pemilik premis dan tukang gunting) perlu mematuhi masa operasi yang dibenarkan manakala pekerja dan pelanggan perlu menunggu pada jarak 1 meter selain memakai penutup mulut dan hidung,” katanya.

Beliau ditemui pada Sesi Penyerahan Bantuan Bekalan Makanan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gayang Ria I, di Tuaran, semalam.

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian (MTI) Sabah turut menyeru semua pihak memberi kerjasama untuk memutuskan rantaian Covid-19.

“Ada dua perkara yang perlu kita selamatkan iaitu yang pertama adalah nyawa. Patuhi arahan PKP demi melindungi semua orang.

“Kedua, kita mahu selamatkan ekonomi. Sekiranya ekonomi (syarikat) tidak berjalan, maknanya pekerjaan rakyat turut terjejas dan akhirnya tiada sumber pendapatan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri mengambil berat dan prihatin dalam melaksanakan tindakan untuk mencegah penularan wabak Covid-19.

“Sabah antara negeri terawal menghentikan penerbangan dari negara China sejak Januari lalu.”

“Meskipun lokasi Sabah dikenali antara pusat pelancongan terkenal dengan kehadiran pelancong dari China melebihi 1 juta, kerajaan negeri menghentikannya sehingga wabak ini berakhir,” katanya.

Sementara itu, penerima bantuan, Hilda Ginsos, 47, yang juga ibu tunggal berkata, bantuan yang diberikan amat bermakna buat setiap keluarga yang mendiami perumahan PPR kerana makanan adalah keperluan mendesak ketika PKP.

“Ini kerana kebanyakan pendapatan penduduk di sini terjejas selain menanggung keperluan anak-anak yang masih kecil.

“Terima kasih atas bantuan ini kerana ia meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.

Disiarkan pada: April 12, 2020 @ 11:28am
d