mutakhir

Rugi RM41,920, terjerat sindiket penipuan

Oleh Nur Izzati Mohamad

DUA pekerja swasta terpaksa berputih mata selepas mereka terperangkap dengan sindiket penjualan topeng muka tidak wujud hingga mengalami kerugian RM41,920.

Kejadian bermula ketika mangsa seorang perempuan dan lelaki masing-masing berusia 36 tahun melayari laman sosial Facebook di rumah mereka baru-baru ini sebelum ternampak dengan iklan penjualan topeng muka.

Tertarik dengan tawaran iklan berkenaan kedua-dua mereka membuat pembelian topeng muka itu tanpa sedar bahawa diri sudah terjerat dengan sindiket penipuan.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor mangsa perempuan membuat pembelian 610 kotak topeng muka bernilai RM39,020 manakala mangsa lelaki menempah 90 kotak topeng muka dengan nilai RM2,900.

“Kedua-dua mereka kemudian memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan suspek dan akan menerima topeng muka berkenaan antara tiga ke tujuh hari namun sehingga kini masih tidak menerimanya.

“Mereka berdua akhirnya sedar sudah ditipu selepas membaca komen di Facebook yang ramai menjadi mangsa kepada sindiket berkenaan dan datang membuat laporan polis semalam,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelasnya, kedua-dua mangsa membuat tempahan topeng muka itu memandangkan permintaan yang tinggi ekoran penularan wabak Covid-19 dan ketiadaan bekalan di seluruh farmasi.

“Pembelian dibuat untuk kegunaan sendiri dan rakan-rakan termasuk ahli keluarga mereka.

“Sehingga kini, polis daerah ini membuka lapan kertas siasatan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan berhubung penipuan pembelian topeng muka dengan jumlah kerugian RM 52,585,” katanya.

Disiarkan pada: April 12, 2020 @ 12:30pm
d