mutakhir

Padah tipu sejarah perjalanan [METROTV]

Oleh Noorazura Abdul Rahman

PENGHANTAR surat dijatuhkan hukuman khidmat masyarakat tiga bulan selepas didapati bersalah gagal memberi maklumat sejarah perjalanannya ketika saringan Covid-19 pada 26 Mac lalu.

Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Omar Mat Khatib, 31, yang bekerja di Singapura, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa gagal mematuhi permintaan pegawai perubatan untuk membekalkan maklumat berhubung dengan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit.

Perbuatan itu dilakukan di kaunter saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Pendang kira-kira jam 12 tengahari, pada 23 Mac lalu,

Tertuduh didakwa mengikut Peraturan 6, pencegahan-pencegahan dan pengawalan penyakit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020 .

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum mengikut Peraturan 6 iaitu denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Terdahulu, Siti Norhidayah menjatuhkan hukuman pilihan iaitu penjara tiga bulan atau khidmat masyarakat selama tiga jam sehari selama tiga bulan.

Tertuduh yang diwakili peguam, Zuriyah Mhd Nordin kemudian memilih hukuman khidmat masyarakat berkuatkuasa hari ini.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh melaporkan diri di Pejabat Parol Pendang, setiap hari selama tiga bulan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 12, 2020 @ 2:07pm
    d