mutakhir

22 anggota ATM, waris dikuarantin

Oleh BERNAMA

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan 22 anggotanya termasuk waris di Sabah menjalani kuarantin selama 14 hari kerana disyaki terdedah dengan jangkitan Covid-19.

Panglima Divisyen Kelima Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, daripada jumlah itu, enam kes dikategorikan sebagai pesakit bawah siasatan (PUI), manakala 16 kes lagi membabitkan pesakit bawah pemantauan (PUS).

“Kesemua mereka sedang menjalani kuarantin dan sebahagian sudah melakukan ujian calitan dan keputusannya negatif.

“Sehingga kini, tiada anggota ATM di Sabah yang disahkan positif Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan anggota yang bertugas di stesen Sekatan Jalan Raya (SJR) Batu 6 Sepagaya di Lahad Datu.

Hafizuddeain turut menasihati semua petugas ATM mengutamakan keselamatan, kesihatan dan bertugas mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

“Langkah itu penting kerana negara tidak mahu kehilangan anggota barisan hadapan ketika menangani pandemik Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap masyarakat terus patuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pihaknya bersama polis akan melaksanakan tugasan SJR.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 12, 2020 @ 2:16pm
    d