mutakhir

Kuarantin di Malaysia lebih baik

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

“BIMBANG dengan keadaan diri berikutan mengandung enam bulan, selain tinggal berseorangan tanpa keluarga menyebabkan saya ambil keputusan pulang ke Malaysia kerana universiti dan sekolah di Mesir ditutup akibat Covid-19,” kata penuntut tahun enam jurusan perubatan Universiti Tanta, Siti Rahmah Madali, 31.

Rahmah yang berasal dari Perak berkata, sepanjang beada di Mesir, penuntut Malaysia perlu mengikut arahan dikeluarkan kerajaan negara itu dan sentiasa menjaga keselamatan diri bagi mengelak terkena jangkitan virus itu.

Menurutnya, orang ramai tidak dibenarkan keluar dari kediaman pada waktu malam di negara itu, sebaliknya boleh menjalankan aktiviti seperti biasa pada siang hari kecuali sekolah dan universiti ditutup.

“Jika mahu keluar, kami akan memakai penutup hidung dan mulut kerana bimbang jatuh sakit sekali gus menghadapi masalah untuk menerima rawatan di hospital di sana kerana sistemnya tidak sama seperti di Malaysia.

“Timbul rasa bimbang jika berlaku sesuatu menyebabkan saya mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Siti Rahmah berkata, dia juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Mesir serta badan bukan kerajaan (NGO) MedicMesir di samping pasukan barisan hadapan yang membantu sehingga mereka selamat pulang ke Malaysia.

“Alhamdulillah, kami menerima layanan baik dan saya kini ditempatkan di pusat kuarantin di Hotel Impiana KLCC, ketika ini.

“Tempat tinggal dan makanan disediakan semuanya selesa dan saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia,” katanya.

Sementara itu, penuntut tahun dua jurusan perubatan Universiti Mansoura, Shahrul Badariah Aminudin, 21, berkata walaupun tiada kuliah kerana universiti ditutup tetapi ia tidak menganggu pelajaran mereka kerana pensyarah masih boleh mengajar secara dalam talian.

“Pensyarah banyak menggunakan kaedah pengajaran dalam talian dan menghantar nota melalui pesanan suara, jadi tidak bimbang mengenai ketinggalan dalam pembelajaran.

“Walaupun kami pulang ke sini (Malaysia), ia tidak menjadi masalah dalam pembelajaran kerana boleh dilakukan secara dalam talian,” katanya yang turut ditempatkan di Hotel Impiana KLCC.

Shahrul Badariah berkata, mereka yang pulang dari Mesir, semalam dibahagikan kepada dua kumpulan di mana sebahagian lagi ditempatkan di pusat kuarantin di Hotel Royale, Bukit Bintang.

“Alhamdulillah, sangat selesa dan bersyukur sepanjang berada di pusat kuarantin tambahan pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pun sentiasa memantau keadaan kami dengan mengambil suhu badan.

“Semalam mereka yang ada simptom tidak ditempatkan di sini sebaliknya dihantar ke Hospital Sungai Buloh,” katanya yang berasal dari Melaka.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 12, 2020 @ 4:49pm
    d