mutakhir

Rakyat Malaysia di Iraq sudah pulang

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

SERAMAI 15 warga Malaysia yang bekerja di Iraq tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, hari ini.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, mereka tiba pada 9.35 pagi melalui penerbangan komersial dari Baghdad ke Kuala Lumpur dengan dibiayai secara persendirian.

Menurutnya, Kedutaan Besar Malaysia di Jordan memudahkan urusan kepulangan rakyat Malaysia dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri Iraq.

“Semua rakyat Malaysia ini akan menjalani proses saringan kesihatan di KLIA serta perlu menjalani proses kuarantin selama 14 hari sebagaimana yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Kementerian Luar Negeri melalui Perwakilan-Perwakilan Malaysia akan berusaha memastikan kebajikan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara terpelihara dan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk membolehkan mereka kembali ke tanah air dengan selamat.

“Saya menasihatkan rakyat Malaysia di luar negara yang masih terkesan dengan pandemik Covid-19 untuk terus tabah dan kekal bertenang dalam menghadapi situasi ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 12, 2020 @ 5:39pm
    d