mutakhir

Pegawai farmasi tamat kontrak disyor jadi sukarelawan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi

PEGAWAI farmasi yang tamat kontrak boleh berkhidmat sebagai sukarelawan bagi membantu pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang tempoh memerangi Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pegawai farmasi KKM ketika ini adalah mencukupi namun mereka yang sudah tamat kontrak dialu-alukan untuk berkhidmat secara jangka pendek.

“Isu kontrak perlu merujuk kepada Bahagian Sumber Manusia dan agensi pusat untuk melanjutkan kontrak.

“Tetapi mereka yang habis kontrak boleh juga berkhidmat dengan KKM sebagai sukarelawan jangka pendek,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, Persatuan Farmasi Malaysia menyarankan kerajaan melanjutkan tempoh perkhidmatan semua pegawai farmasi lantikan kontrak yang dijadual berakhir pada tahun ini bagi membantu KKM.

Presidennya Amrahi Bujang dilaporkan berkata, kira-kira 3,500 pegawai farmasi lantikan kontrak yang bertugas di semua kemudahan KKM dijangka tamat kontrak bermula April hingga Disember ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 12, 2020 @ 5:58pm
    d