mutakhir

Enam jam sanitasi dua blok pangsapuri

Oleh Md Fuzi Abd Lateh

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menjalankan operasi sanitasi awam membendung penularan wabak Covid-19 di Perumahan Pangsapuri Tun Teja Fasa 2 di Rawang, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang, Zaidi Ahtan berkata, operasi semburan nyah kuman itu dijalankan selama lebih enam jam membabitkan 550 unit rumah.

Beliau berkata, mereka turut menumpukan semburan di taman awam yang menjadi lokasi tumpuan penduduk di pangsapuri berkenaan.

“Kami dibantu pasukan Hazmat (Bomba) Selangor, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Jabatan Perumahan Negara (JPN) dan wakil persatuan penduduk pangsapuri ini.

“Operasi diselesaikan pada dua blok pangsapuri 10 tingkat ini dengan sempurna apabila mendapat kerjasama baik daripada penduduk yang berada di dalam rumah masing-masing ketika itu,” katanya.

Zaidi berkata, pihaknya bersiap sedia melakukan operasi semburan nyah kuman di sekitar Rawang secara berkala apabila daerah Gombak berada dalam situasi zon merah penularan wabak Covid-19.

Katanya, pada Jumaat lalu mereka menjalankan operasi sama di Taman Desa Mas, Rawang membabitkan penduduk perumahan di situ.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 12, 2020 @ 6:30pm
    d