mutakhir

Ekau bawak dadah yo jang..

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

SEORANG penagih dadah ditahan polis ketika sekatan jalan raya di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD ) Jelebu petang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Jelebu Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, suspek berusia 23 tahun itu pada awalnya ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ) apabila memberi alasan tidak munasabah pergerakannya.

Katanya, suspek menunggang motosikal Modenas Dinamik 120 dipercayai dari Melaka mahu ke rumah saudaranya di Kampung Chennah, dekat Jelebu.

Polis kemudian membuat pemeriksaan ke atas beg silang yang dipakai suspek sebelum menemui satu paket plastik lut sinar dipercayai mengandungi dadah jenis syabu seberat 2.73 gram.

“Hasil soal siasat suspek memberitahu polis, memperoleh bekalan dadah berkenaan di Lenggeng, Nilai,” katanya dalam kenyataan.

Kamarul Rizal berkata, ujian air kencing suspek positif methamphetamine serta AMP, bagaimanapun suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau berkaitan dadah.

“Suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Peraturan 3(1) Peraturan - Peraturan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah - Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020,” katanya.

Disiarkan pada: April 13, 2020 @ 10:16am
d