mutakhir

Plentong, Ulu Benut zon merah

Oleh Mohamed Farid Noh

PLENTONG di Johor Bahru, dan Ulu Benut di Kluang diisytiharkan sebagai zon merah penularan wabak Covid-19 di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, mengikut data dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) kedua-dua kawasan itu mencatatkan jangkitan wabak Covid-19 melebihi 40 kes.

“Data sehingga semalam menunjukkan Plentong dan Ulu Benut kini adalah zon merah dengan jangkitan wabak Covid-19 yang tinggi.

“Sebanyak empat mukim diletakkan dalam zon jingga iaitu Pulai dan Tebrau di sini serta Sri Gading dan Simpang Kanan di Batu Pahat berikutan mempunyai kes jangkitan wabak antara 20 hingga 40 kes.

“Sebanyak 49 mukim di negeri ini berada dalam zon kuning membabitkan antara satu hingga 20 kes, manakala 37 mukim lagi masih kekal zon hijau dengan rekod tiada kes,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, seramai 145 pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ditugaskan untuk mengawal perairan di seluruh Johor bermula tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

“Mengikut statistik APMM, laluan kapal sepanjang PKP setiap hari mengalami penurunan sehingga 45 peratus berbanding 200 hingga 300 buah kapal yang melalui Selat Melaka.

“APMM juga sentiasa menasihat pemancing yang ditemui untuk pulang ke rumah.

“Manakala bagi bot nelayan kelas A dan B, kerajaan tidak menghalang mereka meneruskan aktiviti penangkapan ikan sepanjang tempoh PKP ini,” katanya.

Beliau berkata, purata peratusan terhadap pematuhan PKP di negeri ini merekodkan sedikit peningkatan semalam.

“Pematuhan PKP di negeri ini merekodkan 96.95 peratus semalam berbanding 96.74 peratus Jumaat lalu,” katanya.

Disiarkan pada: April 13, 2020 @ 11:44am
d