mutakhir

Perlu kemaskini maklumat akaun bank

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

PENERIMA Bantuan Prihatin Nasional (BPN) diminta mengemaskini maklumat akaun bank sebelum 30 April ini, bagi memastikan bayaran dapat disalurkan dengan mudah dan selamat.

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dalam kenyataan semalam berkata, tindakan segera itu perlu diambil penerima yang mempunyai rekod data percukaian dengan LHDN dan diluluskan BPN tetapi masih belum menerima bantuan itu.

“Penerima boleh mengemaskini akaun bank mereka yang aktif melalui aplikasi e-kemaskini di pautan pantas https://ez.hasil.gov.my/ci.

“Kemaskini maklumat itu hendaklah dilakukan selewat-lewatnya pada 30 April bagi membolehkan bayaran BPN mereka dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan pada Mei ini,” katanya.

LHDNM turut menasihati penerima BPN supaya menggunakan saluran rasmi dalam urusan mengemaskini maklumat bank terbabit.

“Sila ambil perhatian bahawa LHDNM tidak akan meminta TAC bagi tujuan penyaluran BPN

“Bagi penerima BPN yang tiada rekod percukaian dengan LHDNM pula, bayaran akan dibuat menerusi beberapa kaedah yang dimaklumkan dalam soalan lazim di portal rasmi BPN,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi LHDNM melalui Hasil Care Line di talian 03-89111000, Hasil Live Chat, borang maklum balas di portal rasmi dan Facebook serta Twitter rasmi LHDNM.

Disiarkan pada: April 13, 2020 @ 1:44pm
d