mutakhir

MAINPP pantau, elak wujud subkluster Covid-19

Oleh Nur Izzati Mohamad

MAJLIS Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) memantau semua madrasah, sekolah tahfiz, sekolah agama, masjid dan surau di Pulau Pinang bagi mengekang penularan Covid-19 sekali gus subkluster baharu kepada kes.

Yang Dipertuanya, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, pemantauan itu berterusan bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu dan kewujudan kluster tabligh yang menyertai perhimpunan di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur.

“Kita sudah mengarahkan penutupan semua premis ini sama ada seliaan kerajaan negeri mahupun persendirian dan meminta pelajar pulang ke rumah masing-masing daripada awal lagi.

“Selain itu, semua masjid dan surau masih ditutup sehingga keadaan pulih seperti biasa. Kita memantau mereka supaya tidak wujud subkluster.

“Jadi saya tidak pasti mengenai subkluster yang disebutkan semalam, tetapi MAINPP menyiasat dan sedia membantu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Zakiyuddin berkata, pihaknya memandang serius situasi semasa Covid-19 dan menasihati umat Islam supaya mematuhi arahan ditetapkan kerajaan.

Semalam, KKM mengenal pasti empat subkluster jangkitan Covid-19 membabitkan beberapa madrasah dan sekolah tahfiz susulan perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilapor berkata, tindakan proaktif mengenal pasti subkluster itu bagi membantu pengesanan kontak rapat kepada kes indeks perhimpunan dan ia membabitkan madrasah di Jerantut, Pahang; Penanti, Pulau Pinang; Sungai Lui, Selangor dan Jasin, Melaka.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 13, 2020 @ 6:09pm
    d