mutakhir

Petronas sumbang peralatan nyah cemar

Oleh Mohd Roji Kawi

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak mendapat sokongan Petronas dalam menjayakan program sanitasi awam untuk memutuskan rantaian koronavirus baharu (Covid-19) di Sarawak.

Peralatan perlindungan peribadi (PPE), pam serta cecair nyah cemar itu disumbangkan oleh empat anak syarikat Petronas yang beroperasi di negeri ini.

Anak syarikat Petronas terbabit ialah Malaysia LNG Sdn Bhd, Petronas Carigali Sdn Bhd Sarawak Oil, Petronas Carigali Sdn Bhd Sarawak Gas dan ASEAN Bintulu Fertilizer Sdn Bhd.

Sumbangan itu diserahkan oleh Pengurus Besar Petronas Sarawak, Zulaihi Mohd Mantali kepada Setiausaha Persekutuan Sarawak, Mohd Shahabudin Omar yang kemudiannya menyerahkan sumbangan itu kepada Pengarah JBPM Sarawak, Khirudin Drahman di Ibu Pejabat JBPM Sarawak di Kuching, hari ini.

Khirudin berkata, sumbangan itu akan diagihkan kepada tiga Zon JBPM Sarawak iaitu Zon Kuching, Kota Samarahan dan Sri Aman.

“Kami sememangnya mengalu-alukan sokongan syarikat besar seperti ini dalam usaha kita melawan wabak Covid-19.

“Sumbangan ini akan meningkatkan lagi keupayaan kami untuk melaksanakan program sanitasi awam di negeri ini,” katanya.

Antara barangan yang disumbangkan Petronas itu ialah 28 unit peralatan penyembur 20 liter menggunakan bateri, 30 unit peralatan penyembur pam dan 53 kotak sarung tangan getah.

Turut disumbangkan cecair peluntur Clorox satu liter sebanyak 130 botol, Clorox 900 milileter sebanyak 360 botol dan 50 kotak mengandungi 2,500 topeng mulut dan hidung.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 13, 2020 @ 6:25pm
    d