mutakhir

KKM kesan 25 kluster dan sub-kluster

Oleh Amir Abd Hamid dan Suraya Roslan

ADA 25 kluster dan sub-kluster yang dikategorikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkaitan dengan jangkitan Covid-19 di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster yang terbesar adalah Sri Petaling iaitu kira-kira 40 peratus daripada jumlah keseluruhan yang direkodkan.

“Tetapi kluster lain juga sudah kita kenal pasti. Kluster besar sudah kita umumkan, kluster kecil belum diumumkan lagi namun pihak KKM memantau dan mengambil tindakan sewajarnya membabitkan pengesanan, pengujian, pengasingan serta memberi rawatan terbaik kepada kluster itu,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di KKM, Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, pesakit dijangkiti Covid-19 adalah tidak sama dengan pesakit HIV/AIDS yang menjejaskan ketahanan dan tindak balas ketahanan badan.

Dr Noor Hisham berkata, ada tujuh koronavirus menjangkiti manusia dan yang terkenal sebelum ini seperti Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS) serta Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV).

Menurutnya, Covid-19 ialah virus baharu membabitkan dua peringkat jangkitan.

“Ia tidak sama dengan HIV/AIDS. Bagi Covid-19, peringkat pertama adalah jangkitan dan peringkat kedua iaitu inflamasi atau keradangan.

“Kita cuba elakkan jangkitan masuk ke dalam rongga paru-paru dan sebagainya sebab virus itu akan masuk dalam sel.

“Reaksi dari dalam badan akan mengakibatkan keradangan. Apabila berlaku keradangan, ini yang boleh membawa maut,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 13, 2020 @ 6:53pm
    d