mutakhir

Dua kereta rosak dihempap pokok kelapa

Oleh Safuri Kamarudin

“SEBAIK melihat pokok kelapa menghempap garaj kereta serta angin kuat dan hujan lebat berterusan, saya terus melaungkan azan,” kata Mohd Bakhtiar Allias.

Mohd Bakhtiar, 33, berkata dalam kejadian 6 petang itu, dua keretanya iaitu Perodua Kancil dan Axia rosak teruk selepas dihempap pokok kelapa dalam kejadian ribut di Kampung Tandop Pisang, Parit Panjang, Baling, petang semalam.

Menurutnya, angin kencang disertai hujan lebat selama 30 minit menyebabkan pokok berdekatan rumahnya tumbang dan menghempap kereta di bawah garaj.

“Saya tengok pokok kelapa menghempap garaj dan terkena dua kereta diparkir di situ.

“Kedua-dua kereta rosak teruk dan tidak boleh bergerak, sebaliknya perlu ditarik ke bengkel untuk dibaiki,” katanya.

Beliau berkata, mujurlah hanya garaj kereta yang rosak teruk dan keluarganya semua selamat.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan 6 petang dan empat anggota bergegas ke lokasi untuk menebang pokok tumbang dan membersih kawasan itu.

Disiarkan pada: April 14, 2020 @ 2:06pm
d