mutakhir

Warga Myanmar didakwa cuba rogol dua wanita

Oleh BERNAMA

SEORANG pekerja restoran warganegara Myanmar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas dua pertuduhan cubaan merogol dua wanita.

Than Khea Lang, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan, di hadapan Hakim Suraiya Mustafa Kamal.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan cubaan merogol terhadap pembantu bahagian kewangan berumur 38 tahun dan eksekutif sumber manusia berumur 26 tahun.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di dalam terowong laluan pejalan kaki bawah bulatan Pudu, di sini, masing-masing pada 6.30 petang, 4 Mac 2020 dan 7.10 malam pada 6 Julai 2019.

Than yang tidak diwakili peguam dituduh melakukan perbuatan itu, mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Khairiyah Samsudin tidak menawarkan sebarang jaminan, kerana kes itu tidak boleh dijamin dan mahkamah menetapkan 12 Mei, untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: April 14, 2020 @ 3:58pm
d