mutakhir

Tukang paip mengaku rompak ibu tunggal

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

TUKANG paip mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini atas pertuduhan merompak beg silang mengandungi wang tunai dan telefon bimbit milik ibu tunggal yang mempunyai 10 anak.

Tertuduh, Ahmad Alif Mohamad, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merompak harta iaitu beg silang mengandungi wang tunai RM150, sebuah telefon bimbit jenama Lenovo, enam utas gelang tangan bukan emas milik Rosmini Othman, 36, menggunakan pisau lipat.

Tertuduh mengaku melakukan kesalahan itu di Jalan Lubuk Mandi, Kampung Bukit Khor, Marang pada 12.05 tengah hari, 2 April lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama berdepan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, Noradila menetapkan 9 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk fakta dan hukuman di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, L.Shantini manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakilkan Mazlan Md Zein.

Disiarkan pada: April 14, 2020 @ 4:07pm
d