mutakhir

Nyah cemar di pejabat pos

Oleh Mohd Roji Kawi

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak hari ini menumpukan operasi nyah cemar di pejabat pos bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19 di negeri ini.

Ketua JBPM Zon Kuching, Henderi Ardimansyah berkata, operasi nyah cemar tertumpu di beberapa pejabat pos sekitar bandar raya ini dan Kota Samarahan.

Beliau berkata, semua empat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di Kuching terbabit dalam operasi berkenaan.

“BBP Batu Lintang melakukan operasi nyah cemar di Pejabat Pos Kenyalang Park manakala BBP Padungan di Pejabat Pos Satok.

“BBP Tabuan Jaya pula melakukan nyah cemar di pejabat Pos Laju di Jalan Song dan BBP Petra Jaya di pejabat Pos Laju di Jalan Matang,” katanya.

Beliau berkata, operasi itu membabitkan nyah cemar di luar dan dalam bangunan pejabat pos serta bungkusan mel yang tiba dan yang akan dihantar keluar.

Sementara itu, operasi sama dijalankan di Pejabat Pos dan Unit Serahan Samarahan Pos Malaysia di Kota Samarahan.

Selain pejabat pos, operasi nyah cemar hari ini turut dilaksanakan JBPM bersama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di Majma Mall, nuseri Depo dan nurseri Maxwell, nurseri Petra Jaya dan nurseri Wisma Bapa Malaysia.

Di Limbang pula, JBPM melaksanakan operasi nyah cemar di bangunan RTM Limbang.

#kw nyah cemar, bomba, sarawak

Disiarkan pada: April 14, 2020 @ 4:57pm
d