mutakhir

'Kami tak tanggung'

Oleh Baharom Bakar

YAYASAN Terengganu dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) tidak akan menanggung kos penerbangan pulang penuntut yang ingin kembali ke tanah air.

Pengarah YT, Ishamudin Hashim berkata, mereka perlu menanggung kos penerbangan sendiri jika mendapat kebenaran dari kerajaan negara berkenaan.

“Setakat ini seramai 1,262 penuntut tajaan YT sedang mengikuti pengajian di beberapa universiti di luar negara.

“Penuntut yang mendapat penajaan termasuk pinjaman YT di universiti di Mesir adalah seramai 500, Indonesia (200), Jordan (170), Turki (122), United Kingdom (100), Sudan (70), Arab Saudi (50), Jerman 30 dan di Yaman membabitkan seramai 20 penuntut,” katanya mengesahkan pihaknya sudah meluluskan peruntukan kecemasan sebanyak RM65,000 kepada penuntut di Mesir.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, M Rozi Bidin turut mengesahkan pihaknya tidak bercadang menampung kos penerbangan membawa balik penuntut yang sedang mengikuti pengajian di luar negara.

Katanya, penuntut perlu menanggung sendiri kos tambang penerbangan untuk balik ke tanah air.

“Penuntut yang bercadang untuk balik juga perlu mendapatkan kelulusan kerajaan tempat mereka belajar.

“Saya difahamkan, kerajaan di negara itu belum memberi kelonggaran bagi membolehkan penuntut pulang ke negara masing-masing,” katanya.

M Rozi berkata, pihaknya sudah menyalurkan bantuan kepada penuntut yang sedang mengikuti pengajian di Jordan dan Mesir berjumlah RM100,000 bulan lalu.

Disiarkan pada: April 14, 2020 @ 5:51pm
d