mutakhir

75 peratus kematian Covid-19 adalah lelaki [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid dan Suraya Roslan

STATISTIK kematian lelaki lebih ramai daripada wanita di Malaysia akibat Covid-19 disebabkan perhimpunan di Sri Petaling dan kaum itu lebih kerap berada di luar.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 75 peratus kematian di Malaysia adalah membabitkan kaum lelaki manakala 25 peratus adalah wanita.

“Dalam perhimpunan Sri Petaling kebanyakan yang hadir adalah lelaki iaitu 33 peratus kematian di Malaysia terdiri daripada kluster itu.

“Faktor seterusnya lelaki lebih banyak aktiviti di luar dan terdedah dengan risiko jangkitan berbanding wanita,” katanya dalam sidang media harian, hari ini.

Menurutnya, hasil dapatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mendapati 50 peratus pesakit Covid-19 yang meninggal dunia di negara ini terdiri daripada mereka berusia lebih 60 tahun ke atas.

“Mereka ini adalah golongan berisiko tinggi manakala 85 peratus daripadanya mempunyai sejarah kesihatan lain seperti kencing manis, penyakit jantung dan darah tinggi

Sementara itu, Noor Hisham berkata, ketika ini keupayaan 43 makmal seluruh negara untuk menguji Covid-19 adalah 11,500 ujian walaupun sasaran 16,500 sehari.

“Kita akan tambah lima makmal lagi di bawah KKM iaitu di Tawau, Sandakan, Miri, Bintulu dan Kluang menjadikan keseluruhan 48 makmal.

“Selain itu, untuk menjimatkan penggunaan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (rRT-PCR) yang mampu mengesan virus yang masih berada dalam badan pesakit.

“Kebiasaannya kita menggunakan teknik swab (calitan) pada hari pertama, bagaimanapun kita mengubah sedikit iaitu pada hari ke-13 kita menggunakan kaedah serologi bagi mengukur respons antibodi,” katanya.

Menurutnya, dengan menggunakan kaedah serologi ia tidak perlu dihantar ke makmal dan keputusan diperoleh lebih cepat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Disiarkan pada: April 14, 2020 @ 6:31pm
    d