mutakhir

Orang berkurung, mung sibuk jual 'barang'

Oleh Rosli Ilham

DUA lelaki disyaki pengedar dadah berjaya ditahan selepas bergelut dengan polis di Simpang Felda Seberang Tayur-Air Putih, Chukai, hari ini.

Kedua-dua suspek berusia 46 dan 51 tahun itu ditahan pada 12.45 tengah hari dan polis menemui pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM12,000.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sebelum kejadian sepasukan anggota polis sedang melakukan rondaan Covid-19 sebelum terserempak dengan kedua-dua suspek dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, sebaik diarah berhenti suspek cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan antara mereka dengan polis sebelum kedua-duanya berjaya ditahan.

“Hasil pemeriksaan di dalam beg sandang, polis menemui tiga botol serbuk putih dipercayai heroin dianggarkan seberat 18 gram yang bernilai RM1,200.

“Turut ditemui 400 biji pil WY dianggarkan seberat 47 gram bernilai 6,000 serta serbuk kristal dipercayai syabu dianggarkan seberat 50.27 gram yang bernilai RM5, 000,” katanya pada sidang media di Balai Polis Pasir Gajah, hari ini.

Hanyan berkata, suspek turut menawarkan wang tunai sebanyak RM50,000 kepada anggota supaya mereka tidak didakwa dan dibebaskan.

Katanya, pemeriksaan polis turut menemui alat penimbang serta wang tunai berjumlah RM5,000 dipercayai hasil jualan dadah terbabit.

“Kedua-dua suspek dipercayai sedang dalam perjalanan untuk menjual dadah di sekitar kawasan terbabit.

Menurutnya, semakan mendapati suspek berusia 46 tahun yang tinggal di Batu 14, Jalan Air Putih mempunyai lima rekod jenayah berkaitan dadah.

“Seorang lagi suspek yang beralamat di Dusun Nyior itu mempunyai 23 kes dadah dan satu kes curi mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: April 14, 2020 @ 6:35pm
d