mutakhir

Proses dadah dalam bengkel motosikal [METROTV]

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

POLIS menyerbu sebuah bengkel motosikal yang dijadikan sebagai makmal pemprosesan dan pengedaran dadah di sebuah rumah dekat Kampung Permatang Keriang, Sanglang, Kangar, semalam.

Dalam kejadian 5.45 petang itu, tokan dadah yang juga mekanik berusia 31 tahun bersama pelanggannya berusia 28 tahun ditahan ketika sedang berada di luar bengkel berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, polis turut merampas 51 gram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai hampir RM6,000 bersama wang tunai berjumlah RM1,159.

“Jika dilihat, bengkel berkenaan didirikan di bahagian belakang rumah suspek dan terdapat seunit kamera litar tertutup dipasang pada sebatang pokok bagi melihat pergerakan orang luar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Wari berkata, hasil pemeriksaan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah, namun dia begitu dikenali dalam kalangan penagih sebagai tokan dadah sekitar Sanglang dan Simpang Empat.

“Hasil ujian air kencing mendapati mereka positif dadah jenis syabu selain pelanggannya itu mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

“Mereka akan direman pagi ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Disiarkan pada: April 15, 2020 @ 10:12am
d