mutakhir

3 ditahan menyamar pegawai kanan polis

Oleh Nurul Amanina Suhaini

POLIS menahan tiga individu berhubung kes penipuan dengan menyamar sebagai pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membebaskan tahanan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata suspek berusia 28 hingga 49 tahun ditahan di Kota Tinggi dan Taman Pelangi pada 8 hingga 10 April lalu.

Katanya, tangkapan susulan laporan polis dibuat seorang mangsa berusia 26 tahun pada 8 April lalu, yang ditipu oleh suspek untuk membantu menyelesaikan kes ayahnya yang ditahan oleh polis atas kesalahan penyalahgunaan dadah tanpa pertuduhan di mahkamah.

Katanya, pengadu yang bekerja di Singapura itu diperdaya kononnya suspek mempunyai ‘orang dalam’ dan meminta sejumlah wang bagi menyelesaikan perkara itu.

“Pengadu membuat pemindahan wang berjumlah RM 18,000 ke akaun bank milik suspek, manakala baki wang tunai berjumlah RM 15,000 diserahkan kepada suspek. “Namun apabila pengadu tiba di rumah dia mendapati ayahnya berada di rumah.

“Pengadu seterusnya menghubungi pegawai penyiasat kes dan dimaklumkan tidak pernah meminta wang daripada keluarga,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ayob berkata, suspek pertama ditahan di stesen minyak Kota Tinggi pada 8 April lalu dan merampas wang tunai berjumlah RM15,000 di dalam kenderaan miliknya.

“Susulan itu, polis menahan dua lagi suspek masing-masing di Taman Pelangi, pada 9 April lalu dan 10 April lalu.

“Siasatan lanjut polis juga berjaya merampas RM18,000 dan pakaian seragam serta kelengkapan polis,” katanya.

Katanya, semua suspek direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 89 Akta Polis 1966.

Disiarkan pada: April 15, 2020 @ 1:16pm
d