mutakhir

Niaga barang halal la bang...

Oleh Safuri Kamarudin

PENAHANAN seorang lelaki yang sedang memandu Honda City di lampu isyarat di Jalan tawar menghala ke Kuala Ketil di sini, 4 petang semalam membawa kepada penemuan pelbagai jenis dadah.

Terdahulu, polis melakukan intipan terhadap kereta terbabit yang dilihat sering menggunakan laluan tikus di sekitar daerah ini selama dua minggu.

Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, pemandu terbabit berusia 40-an dan kini direman seminggu bagi membantu siasatan.

“Pemeriksaan dalam kereta itu menemui masing-masing dua paket syabu seberat 7.3 gram, satu paket syabu seberat 323.27 gram dan satu paket syabu seberat 50.35 gram.

“Selain itu, kami menemui masing-masing dua paket heroin seberat 13.6 gram serta satu paket heroin seberat 455.42 gram,” katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pada operasi diketuai Inspektor Seanhilary Miting Pakoi dan tujuh anggota, keseluruhan rampasan heroin ialah 469.02 gram manakala syabu 380.92 gram.

Syed Basri berkata, suspek yang berasal dari Pengkalan Hulu, Perak juga positif morfin selepas menjalani ujian saringan air kencing selain memiliki tujuh rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Disiarkan pada: April 15, 2020 @ 1:34pm
d