mutakhir

Penang mahu pembenihan awan, tampung sumber air

Oleh Audrey Dermawan

PULAU Pinang meminta Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) untuk melakukan pembenihan awan di utara tanah air bagi menambah kadar taburan hujan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk Jaseni Maidinsa berkata, ia susulan kapasiti enam empangan di negeri itu dan Kedah yang semakin menyusut berikutan kemarau berpanjangan.

Sehingga semalam, kapasiti efektif Empangan Air Itam berada pada 33.3 peratus; Empangan Teluk Bahang (20.9 peratus) Empangan Mengkuang (68.3 peratus); Empangan Muda (4.4 peratus) Empangan Beris (39.6 peratus) dan Empangan Pedu (33.4 peratus).

Jaseni berkata, paras Sungai Muda juga menyusut kepada 1.29 meter (m) pada Selasa, di bawah paras kritikal 1.5m, manakala paras normal sungai itu melebihi dua meter.

Katanya, Empangan Muda dan Beris di Kedah dibina untuk melepaskan air ke Sungai Muda, sumber air utama untuk Penang dan selatan Kedah ketika musim kemarau.

“Kita minta supaya pembenihan awan ini dibuat untuk kemungkinan jika hujan berkurangan. Dengan kehadiran awan hujan ketika ini, ia cubaan yang baik untuk pembenihan kerana potensi kejayaannya tinggi.

“Kita memerlukan hujan di semua enam kawasan takungan air (empangan), apatah lagi bekalan air penting buat Penang dan Kedah penting untuk mengekang penularan Covid-19,” katanya hari ini.

Jaseni berkata, sejumlah 3.95 juta penduduk di Pulau Pinang dan Kedah menerima bekalan air tanpa gangguan setakat ini, namun pihaknya bimbang risiko kekurangan bekalan disebabkan kemarau.

Dalam pada itu, PBAPP menerima aduan pengguna mengenai tekanan rendah dan ketiadaan air di kawasan Pokok Ceri, Hye Keat Estate, Flat 420 Taman Bukit Bendera, Kampung Paya Terubong, Kampung Gertak Sanggul dan Mount Erskine.

Menurutnya, lokasi itu diklasifikasi sebagai kawasan tinggi dan penghujung saluran paip.

“Jadi apabila penggunaan tinggi, sesetengah kawasan akan menghadapi tekanan rendah dan tiada air. Kita ambil tindakan segera dengan menghantar tangki air di kawasan terjejas dan meningkatkan pengeluaran Loji Rawatan Air (LRA) Air Itam dan Batu Feringghi,” katanya.

Disiarkan pada: April 15, 2020 @ 2:45pm
d