mutakhir

Lelaki ditahan tipu penjualan penutup mulut dan hidung

Oleh Mohd Amin Jalil

POLIS menahan seorang lelaki selepas dipercayai terbabit dengan penipuan penjualan penutup mulut dan hidung melalui laman sosial Facebook membabitkan kerugian RM61,948, sejak pertengahan Mac lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, lelaki berusia 29 tahun yang bekerja sebagai penjaga parkir kereta itu ditahan di Gombak, Selangor, semalam.

Katanya, suspek dipercayai terbabit dengan tiga kes penipuan di beberapa lokasi di negara ini, iaitu di Sungai Karangan, Kedah; Kota Bharu, Kelantan dan Senawang, Negeri Sembilan.

“Bagi kes di Senawang, penipuan membabitkan kerugian RM37,948, di Sungai Karangan jumlah kerugian RM10,000, manakala kes di Kota Bharu pula kerugian RM14,000.

“Suspek direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya kepada media, hari ini.

Mengulas mengenai jenayah yang dilakukan suspek di Senawang, Aibee berkata, pada 22 Mac lalu, suspek menggunakan seorang wanita sebagai orang tengah bagi urusan pembelian penutup mulut dan hidung sebanyak 800 kotak bernilai RM37,948.

Katanya, mangsa membuat transaksi pembayaran pada 25 Mac hingga 31 Mac ke dalam akaun atas nama Muhammad Rais, bagaimanapun, pada 4.50 petang, 1 April, mangsa menerima mesej menyatakan pembelian terpaksa dibatalkan.

“Suspek mendakwa dia ditipu untuk menerima barang berkenaan dalam tempoh sebulan dan menyatakan bayaran akan dikembalikan, namun dia terus mendiamkan diri.

“Mangsa mengesyaki dia ditipu dan kemudiannya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: April 15, 2020 @ 4:23pm
d