mutakhir

Buruh tak mengaku baling kayu

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

SEORANG buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini atas pertuduhan mencederakan jirannya dengan membaling kayu terhadap mangsa.

Tertuduh, Syahrulnizam Baharom, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Penolong Pendaftar Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu, Roszita Md Saad.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Nor Hisham Mohd Nor, 40, dengan membaling kayu hingga terkena lutut mangsa di sebuah rumah di Taman Perumahan Gong Badak 3, Kuala Nerus, jam 7.15 malam pada 23 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 12 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 bersama seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna.

Difahamkan, kejadian berlaku selepas tertuduh dikatakan tidak berpuas hati dengan anak perempuan mangsa berusia 12 tahun yang didakwa sering mengintainya ketika berada di dalam rumah.

Tertuduh ada ke rumah mangsa memaklumkan perbuatan kanak-kanak itu namun mangsa menafikan dengan alasan anaknya itu masih kecil.

Disiarkan pada: April 15, 2020 @ 4:43pm
d